Discover the Latest from YSD

Stay connected with the latest developments at Yayasan Sime Darby. Learn about the initiatives we are taking in our community and beyond.

PLBM dan Yayasan Sime Darby Lancarkan Program Klinik Lawn Bowls “Jackke-Sekolah” Di SMK Jeram Di Bawah Inisiatif Sekolah Angkat Madani.
Arts & Culture

Tarikh: 19 Ogos 2025 (Selasa) 
Masa: 10.00 pagi 
Tempat : Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram, Selangor

Jeram, 19 Ogos 2025 — Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) dengan sokongan Yayasan Sime Darby (YSD) hari ini melancarkan program akar umbi “Jack-ke-Sekolah” di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram, Selangor, dengan kerjasama SD Guthrie Berhad.

Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Mohamad Helmy Othman Basha, Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie Berhad merangkap Ahli Majlis Tadbir Urus Yayasan Sime Darby. SMK Jeram merupakan salah sebuah Sekolah Angkat MADANI di bawah sokongan YSD dan SD Guthrie Berhad. 

“Jack-ke-Sekolah” ialah inisiatif PLBM bagi memperluas penyertaan sukan lawn bowls dalam kalangan pelajar melalui klinik latihan berstruktur yang dikendalikan jurulatih bertauliah bersama atlet kebangsaan. Program ini turut menyasarkan penyertaan daripada 10 buah sekolah, melibatkan latihan untuk 200 pelajar dan 20 guru, serta pemberian 10 set peralatan lawn bowls bagi membolehkan aktiviti diteruskan di peringkat sekolah selepas klinik. 

Pelaksanaan di SMK Jeram memberi peluang kepada pelajar dan guru untuk mempelajari kemahiran asas permainan, strategi, disiplin dan kerja berpasukan, sekali gus memperkaya pengalaman kokurikulum.  Kehadiran Nor Farah Ain Abdullah, yang pada Mac 2025 lalu berjaya menduduki ranking nombor satu dunia dan seterusnya dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2024, turut memberi inspirasi kepada pelajar untuk menceburi sukan ini. 

Selain pembangunan di peringkat akar umbi, sokongan YSD bagi program ini turut merangkumi pembiayaan 10 atlet wanita kebangsaan termasuk Nor Farah Ain untuk menyertai empat kejohanan antarabangsa yang diiktiraf, bagi mengumpul mata ranking dan mengekalkan daya saing Malaysia di peringkat dunia. Pendekatan dua komponen ini mengukuhkan laluan bakat daripada peringkat sekolah ke peringkat elit di bawah teraju teknikal PLBM.

Program Klinik “Jack-ke-Sekolah” dijadualkan akan diteruskan ke beberapa buah sekolah lain di seluruh negara sepanjang tahun ini sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan sukan lawn bowls negara. PLBM yakin pendedahan awal seperti ini mampu menyemai minat pelajar serta membentuk generasi pelapis yang berpotensi tinggi.

Mengenai Yayasan Sime Darby (YSD) 

Yayasan Sime Darby merupakan cabang filantropi Sime Darby Berhad, SD Gutrie Berhad, dan Sime Darby Property Berhad. Ditubuhkan pada tahun 1982, yayasan ini beteraskan lima fokus utama, iaitu Pendidikan, Alam Sekitar, Komuniti & Kesihatan, Sukan, serta Seni dan Budaya. Dipimpin oleh Majlis Tadbir Bebas, yayasan ini diuruskan oleh pasukan berdedikasi yang bekerjasama rapat dengan ketiga-tiga syarikat penderma YSD dalam bidang kepentingan bersama. Setakat ini, YSD telah memperuntukkan lebih RM208 juta bagi pembangunan sukan merangkumi 89 projek. Sejak penubuhannya, YSD telah mengembangkan peranan daripada sekadar menawarkan biasiswa kepada individu yang cemerlang dan layak kepada membiayai program pemuliharaan, khidmat masyarakat, dan pembangunan yang berkesan. Untuk maklumat lanjut, layari www.yayasansimedarby.com  

Untuk sebarang pertanyaan media, sila hubungi: 
Lea Ellisyhia, lea.ellisyhia@sime.com, +60173440202 

Mengenai Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) 

Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) ialah badan induk rasmi yang bertanggungjawab mengurus, menyelaras dan membangunkan sukan lawn bowls di Malaysia. Ditubuhkan bagi menyatukan semua persatuan negeri di bawah satu pentadbiran kebangsaan, PLBM memainkan peranan utama dalam merancang program pembangunan atlet, menganjurkan kejohanan tempatan dan antarabangsa, serta memastikan Malaysia kekal kompetitif di peringkat serantau dan dunia. 

Antara tumpuan utama PLBM ialah pembangunan akar umbi, pencarian bakat muda, peningkatan kualiti kejurulatihan dan pengadilan, serta memperluaskan penglibatan masyarakat melalui program inklusif dan inovatif seperti “Jack-ke-Sekolah” dan juga “Fiestabowls” untuk golongan warga emas. 

Untuk sebarang pertanyaan media atau liputan lanjut, sila hubungi: 

ALAMAT:
ARENA LAWN BOWLS,
KOMPLEKS SUKAN NEGARA BUKIT KIARA,
60000 KUALA LUMPUR

NO TELEFON:
019-3391122 (DATO’ ZANZALI BIN MOHAMAD - SUA)

EMEL:
bowlsmalaysia@gmail.com