Stay connected with the latest developments at Yayasan Sime Darby. Learn about the initiatives we are taking in our community and beyond.
Yayasan Sime Darby (YSD) meneruskan komitmen dalam memperkasa warisan budaya Malaysia menerusi sokongan terhadap Kejohanan Jemputan Sekolah Rendah Gendang 24 Perayaan Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung pada 8 Ogos di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan YSD dalam memelihara dan memartabatkan seni warisan negara, di samping memupuk minat generasi muda agar terus menghargai dan melestarikan khazanah budaya Malaysia.
Kejohanan edisi pertama di peringkat sekolah rendah ini menyaksikan 16 pasukan sekolah rendah terbaik dari seluruh negara berentap setelah berjaya melepasi proses saringan yang melibatkan penyertaan sekolah-sekolah dari seluruh Malaysia. Pertandingan ini menjadi platform untuk murid mempamerkan kemahiran teknikal permainan gendang, kreativiti, gubahan muzik, formasi dan koreografi, di samping memupuk disiplin, keyakinan diri serta semangat berpasukan melalui seni persembahan.

Kejohanan ini dianjurkan dengan kerjasama antara Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Persatuan Gendang 24 Perayaan Malaysia, dengan sokongan YSD.
Pada kejohanan tersebut, SJK (C) Hwa Lian 1, Pangkor, Perak muncul sebagai johan selepas menewaskan SJK (C) Hillside, Seremban, Negeri Sembilan, manakala tempat ketiga dimenangi oleh SJK (C) Wan Hwa 1, Perak. Kejohanan ini turut menyaksikan penyampaian beberapa anugerah khas bagi mengiktiraf kecemerlangan persembahan, kreativiti dan semangat berpasukan yang dipamerkan oleh para peserta.

Ahli Majlis Tadbir Urus Yayasan Sime Darby, YBhg. Puan Sri Normah Hashim, berkata pendedahan kepada seni dan budaya memainkan peranan penting dalam pembangunan generasi muda.
“Kami di YSD mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pemenang serta semua peserta yang telah mempamerkan bakat, disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang kejohanan ini.
“Di YSD, kami percaya bahawa seni dan budaya bukan sekadar aktiviti kokurikulum, tetapi medium yang membentuk karakter, keyakinan dan jati diri generasi muda. Apabila murid diberi peluang untuk berkarya, berkolaborasi dan menghargai warisan budaya, mereka bukan sahaja membangunkan bakat, malah membina nilai dan kemahiran yang akan membawa mereka jauh dalam kehidupan.”
Sebagai sebuah yayasan korporat yang disokong oleh Sime Darby Berhad, SD Guthrie Berhad dan Sime Darby Property Berhad, YSD telah menyokong lebih daripada 160 inisiatif di bawah teras Seni & Budaya bagi memperluaskan akses kepada pendidikan seni, memperkasa penggiat seni serta memelihara warisan budaya Malaysia.
Komitmen tersebut ini diteruskan lagi melalui sokongan YSD terhadap kejohanan ini menerusi pembiayaan sebanyak RM200,000, sekali gus membantu memperluaskan penyertaan murid dalam aktiviti seni dan budaya serta memastikan kelangsungan Gendang 24 Perayaan untuk generasi akan datang.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh berkata
“Hari ini, buat kali pertama selepas 38 tahun, Gendang 24 Perayaan berjaya dibawa ke pentas pertandingan peringkat sekolah hasil kerjasama Kerajaan MADANI dan semua pihak yang terlibat.
“Sejak Mei lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama pihak penganjur telah berbincang mengenai wawasan ke arah UNESCO serta bagaimana untuk mengembangkan Gendang 24 Perayaan ke sekolah-sekolah yang tidak mempunyai akses kepada persembahan ini.
“Daripada 417 peserta muda yang mewakili 16 buah SJKC, lebih 10 peratus terdiri daripada murid bukan masyarakat Tionghua. Ini menunjukkan bagaimana Gendang 24 Perayaan mampu memperkukuh semangat perpaduan yang membanggakan,” katanya.
Gendang 24 Perayaan yang diasaskan di Johor Bahru pada tahun 1988 oleh Encik Tan Chai Puan, Pengasas dan Pengerusi Persatuan Gendang 24 Perayaan Malaysia, dan mendiang Tan Hooi Song telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan Tidak Ketara pada tahun 2009 dan kini sedang melalui proses pencalonan ke Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity UNESCO.
Sebagai penghargaan atas jasa dan sumbangan besar mendiang Tan Hooi Song dalam pembangunan seni dan budaya negara, piala pusingan kejohanan ini diberi nama Piala Tan Hooi Song. Pengiktirafan ini bukan sekadar mengenang jasa beliau sebagai tokoh budaya, tetapi juga sebagai simbol penghormatan terhadap komitmen dan usaha berterusannya dalam memartabatkan Gendang 24 Perayaan sebagai khazanah budaya Malaysia.

Melalui sokongan terhadap kejohanan ini, YSD berharap lebih ramai generasi muda akan terus menghargai dan mempelajari warisan budaya Malaysia. Selain menjadi platform mencungkil bakat, kejohanan ini turut membentuk disiplin, semangat berpasukan, kreativiti dan keyakinan diri dalam kalangan peserta, sekali gus menyumbang kepada usaha jangka panjang memastikan Gendang 24 Perayaan terus berkembang sebagai warisan budaya negara yang membanggakan dan diwarisi oleh generasi akan datang.
